Norman: Tidak mahu cerai, Abby-Memey sama-sama penting
Oleh WAHIDA ASRANI
NORMAN-ABBY BERSEMUKA... Urutan rangkuman enam gambar detik Abby berada di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dan kemudian bertemu dengan suaminya, Norman Hakim di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kelmarin. (Ikut jam) Abby menitiskan air mata ketika menemui wartawan, kemudian meninggalkan kawasan mahkamah dengan dokuman, menemui Norman di lokasi penggambaran, menyerahkan dokumen, pasangan Abby-Norman berjalan untuk mengadakan perbincangan 45 minit dan kedua-dua mereka berdepan dengan wartawan.
PETALING JAYA: Meskipun didesak oleh isterinya, Abby Abadi untuk bercerai, aktor Norman Hakim yang cukup sinonim dengan watak Inspektor Haris dalam drama bersiri Gerak Khas, tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan mahligai yang dibina lebih enam tahun lalu.
Bagaimanapun setelah berkali-kali soalan tentang hubungannya bersama pelakon baru Memey diajukan, Norman memberitahu mStar Online hari ini, pelakon muda berusia 20 tahun itu dan Abby, yang juga pelakon dan bekas penyanyi, adalah dua insan yang 'istimewa' baginya.
Minggu lalu, Norman dan Memey ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor di pejabat Norman di Ukay Perdana.
Isnin lalu, Abby mengunjungi Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur untuk memfailkan tuntutan bercerai tetapi tidak kesampaian kerana dokumen yang dikemukakan tidak lengkap termasuk tiada butiran lengkap mengenai Norman.